HASRAT Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyerahkan dua helai tuala, gayung dan berus gigi kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai simbolik bantahan isu pencemaran air hari ini, tidak kesampaian.
Beliau dihalang oleh anggota keselamatan yang membuat sekatan berhampiran pintu utama pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, selain tiada wakil Menteri Besar menemuinya.
Bagaimanapun Jamal tidak bertuala seperti dilakukan ketika membantah isu sama tiga tahun lalu, sebaliknya memakai baju batik.
Ketika ditemui media, Jamal berkata dua helai tuala itu digunakan tiga tahun lalu, ketika membuat protes krisis air di lokasi sama, begitu juga gayung cuma ditambah berus gigi.
Selain tiga barang tersebut, beliau mahu menyerahkan ‘proposal’ berhubung penyelesaian isu air kepada menteri besar.
“Saya nak bagi sekarang dan saya sentiasa mengikuti peraturan… polis buat ‘roadblock’ dan tak bagi masuk, jadi tak berupayalah nak masuk.
“Jika hari ini tak boleh serah, bila-bila saja, kerajaan negeri boleh hubungi saya kerana saya bukan penjenayah, ‘gangster’ dan saya juga rakyat Selangor,” katanya.
Mengulas lanjut, Jamal berkata, beliau mempunyai 12 cadangan kepada kerajaan Selangor untuk menangani masalah air agar tidak berulang, antaranya agensi penguatkuasaan perlu tegas, sentiasa amanah dan memantau 24 jam sehari terhadap setiap pelepasan ‘effluen’ dari pihak industri.
Selain itu, katanya, Loji Rawatan Air Langat 2 perlu disegerakan demi menjamin pembekalan air mentah, memulihkan semula sungai yang tercemar serta mewujudkan mahkamah khas pencemaran untuk mendakwa penjenayah alam sekitar.
Beliau juga mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan bon jaminan pencemaran dengan jumlah tinggi kepada setiap industri yang berpotensi melepaskan pencemaran ke sungai.
“Meletakkan data tahap semasa kualiti air sungai seluruh negeri di papan tanda elektronik milik pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap hari.
“Mewujudkan skuad pemantau sungai 24 jam, pemakluman awal jika pencemaran air dikesan supaya rakyat dapat menyediakan bekalan air bersih di rumah,” katanya.
Jamal turut meminta kerajaan negeri menyenaraikan jumlah kilang tidak berlesen yang masih beroperasi di Selangor.



