Penjawat awam perlu waspada jerat ‘scammer’

0
2
SHAH ALAM 18 DISEMBER 2019. Setiausaha Agong Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat ditemui media pada Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Kali Ke 28 di Shah Alam Convention Centre. STR/FAIZ ANUAR

PENJAWAT awam serta persara kerajaan dinasihati jangan membuat keputusan terburu-buru sekiranya menerima panggilan telefon yang menawarkan atau meminta maklumat kewangan peribadi. 

Presiden Cuepacs, Adnan Mat, berkata

sejak kebelakangan ini banyak kes penipuan melibatkan sindiket ‘scammer’ dan mangsa merupakan kalangan penjawat awam dan pesara kerajaan hingga mengakibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Beliau berkata, kes seperti macau scam, panggilan palsu, pinjaman perumahan atau pelaburan sudah lama wujud dan dijalankan sindiket yang menyasarkan penjawat awam serta pesara. 

“Umum mengetahui bahawa penjawat awam mempunyai sedikit kelebihan dalam kemudahan untuk membuat pinjaman melalui institusi kewangan.

“Sewaktu bersara pula, penjawat awam ini akan diberikan imbuhan atas perkhidmatan mereka, disebabkan faktor itulah golongan penjawat awam dan pesara kerajaan sering menjadi mangsa sasaran sindiket penipuan walaupun gaji mereka tidaklah begitu besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesan penipuan sindiket ini bukan sahaja boleh meruntuhkan institusi sosial masayarakat bahkan menjadikan kualiti kerja menurun akibat masalah kewangan.

“Dalam hal ini, Cuepacs berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui bahagian latihan dapat meningkatkan lagi modul latihan kepada penjawat awam.

“Modul latihan tidak semestinya menjurus kepada pengurusan kewangan, pembangunan kerjaya serta peningkatan kualiti perkhidmatan sahaja.

“Sebaliknya ia perlu meliputi pelbagai bidang latihan termasuklah mengenai hal-hal berkaitan modus operandi sindiket penipuan dan pelaburan palsu,” katanya.

Beliau berkata, pemberian latihan atau kursus berkaitan sindiket penipuan dapat mengelakkan masalah yang lebih besar berlaku pada masa akan datang.

“Penekanan terhadap latihan dan kursus mengenai sindiket penipuan ini boleh dilakukan secara formal atau tidak formal termasuk dengan pembentukan modul latihan yang khusus atau pameran pendidikan, hebahan dan risalah,” katanya.

 Adnan berkata, ketua jabatan perlu sering mengingatkan kakitangan masing-masing mengenai modus operadi dan kegiatan sindiket penipuan ini melalui perhimpunan bulanan yang dilakukan secara berkala.

“Selain itu, jadikan pihak berkuasa sebagai badan rujukan utama sebelum melakukan apa-apa jua keputusan membabitkan pengeluaran jumlah wang yang besar.

“Selain itu, dapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli keluarga terdekat atau buat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.