Ali Puteh syukur dengan keputusan mahkamah

0
2

PELAWAK, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan melahirkan rasa bersyukur dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.

Ia berhubung faraid yang difailkan balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Ali pada 15 Julai lalu.

“Alhamdulillah, syukur sudah selesai. Itulah sebaiknya,” katanya yang turut dikenali sebagai Ali Puteh.

Ali seperti dilapor Harian Metro berkata, perkara itu perlu dibuat mengikut hukum syarak sama seperti yang pernah dinyatakan dalam dua siri video yang dimuat naik sebelum ini.

“Orang cakap saya nak halang harta arwah. Ya Allah Ya Tuhanku, kalau tengok sidang media saya yang awal dulu dan video terbaru, saya cakap sama saja. 

“Kalau ikut hukum Islam memang itulah sebaiknya dan lebih bagus. Benda itu memang perlu difaraidkan kalau ikut hukum Islam. 

“Syukur perkara ini sudah selesai. Memang itu yang terbaik. Apabila jadi begini orang anggap saya yang salah,” katanya.

Ditanya mengenai status rumah peninggalan Allahyarham, Ali tegas menyatakan ia termasuk dalam faraid.

Sementara itu, peguam mewakili Ali, Noorazmir Zakaria dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir berkata, anak guam dan keluarganya tidak pernah rebutkan harta Allahyarham.

“Keputusan mahkamah tadi adalah pengisytiharan faraid siapa yang berhak. Jadi, dalam kes ini yang terbabit adalah balu, anak dan ibu bapa arwah.

“Dari awal lagi, permohonan yang difailkan balu tidak ada masalah dan tak perlu dipertikaikan. Malah, apabila saya terangkan kepada keluarga Ali, mereka tak pertikaikan. Ibu bapa arwah faham bahagian mereka.

“Cuma, selepas ini kami akan membuat permohonan surat kuasa tadbir untuk membahagikan harta peninggalan arwah dan dibahagikan menurut hukum faraid. Kita juga dalam proses untuk selesaikan pembahagian harta secara baik. Balu arwah akan dimasukkan kerana dia berhak selaku penjaga sah anak yang masih bawah umur,” katanya.

Ditanya mengenai status kereta jenis Toyota Vellfire milik Allahyarham, Noorazmir mengesahkan kereta itu sudah dilelong bank pada 19 Ogos lalu.

Terdahulu, Hidayah berpuas hati dengan dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengenai tuntutan faraid yang difailkan pada prosiding yang berlangsung, hari ini.

Mahkamah menetapkan pembahagian berdasarkan hukum syarak membabitkan rumah, kereta, wang ringgit, barang peribadi seperti jam tangan, kasut, telefon bimbit, kamera dan barangan lain peninggalan Allahyarham.-Malaysiapost