SEBANYAK 674 kawasan masih belum menerima bekalan air manakala 618 kawasan telah pulih sepenuhnya setakat jam 12.30 tengah hari tadi.
Secara keseluruhan, 47.38 peratus daripada 1,292 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air yang tidak berjadual itu, pulih sepenuhnya.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri memohon kerjasama semua pihak bagi melancarkan urusan pihaknya.
“Pengguna diminta memberi kerjasama yang baik kepada warga kerja Air Selangor yang bertugas dalam memberikan bantuan bekalan air alternatif di kawasan yang masih terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Peratusan pemulihan mengikut wilayah adalah Kuala Selangor 93.5 peratus, Hulu Selangor (94.1 peratus), Petaling (57.2 peratus), Gombak (11.31 peratus), Klang/Shah Alam (24.2 peratus), Kuala Lumpur (41.3 peratus), dan Kuala Langat (50 peratus).
Air Selangor akan terus memaklumkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com. – Malaysiapost

