SEORANG penumpang komuter cedera dalam insiden kereta api elektrik (ETS) dan komuter tiga gerabak bergesel berhampiran Stesen Kuang, petang tadi.
Penumpang komuter terbabit cedera ringan di tangan dalam kejadian pada 6.37 petang itu.
Dia diberi rawatan kecemasan oleh kakitangan KTMB di Stesen Kuang sebelum mangsa meneruskan perjalanan ke Stesen Sungai Buloh.
Penumpang ETS yang turut terbabit dalam insiden itu juga telah dipindahkan menaiki ETS berikutnya untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Ir Kamarulzaman Zainal, berkata komuter berkenaan dalam perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh sebelum bergesel dengan ETS dari arah Stesen Padang Besar yang menuju ke Stesen KL Sentral.
“Bagaimanapun, landasan antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Rawang tidak terhalang dan masih boleh digunakan untuk perkhidmatan tren-tren lain.
“Kita jangkakan akan berlaku sedikit kelewatan bagi perkhidmatan tren-tren tersebut,” katanya. – Malaysiapost

