Tekan tubi kalau tak pakai mask di Indonesia

0
2

[Dunia] JIKA di Malaysia dikompaun RM1,000 tetapi di Indonesia mereka yang didapati tidak memakai pelitup muka hanya dikenakan denda melakukan tekan tubi.

Malah dalam usaha mengekang penularan Covid-19, individu yang gagal memakai  pelitup muka juga perlu menyanyikan lagu kebangsaan, Indonesia Raya.

Berdasarkan video yang disiarkan Kompas TV, Polsek Sukun (polis di Malang) dan Dinas Perhubungan (Kementerian Pengangkutan) melakukan operasi bersepadu di Jalan Raya Lowokdoro Kota Malang, semalam.

Operasi yang dijalankan bukan sahaja bagi mengenalpasti rakyat yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya, malah mengesan mereka yang tidak memakai pelitup muka.

Kanit Lantas Polsek Sukun, Luhur Santoso, berkata tindakan yang diambil pihaknya adalah bagi mengawal penularan pandemik berkenaan.

“Ini adalah salah satu kaedah untuk menerapkan disiplin kepada rakyat melalui hukuman bagi mencegah Covid-19,” katanya.

Pada 29 Ogos lalu, seorang pengantin lelaki di Jawa  turut didenda membuat tekan tubi kerana tidak memakai pelitup muka dalam majlis perkahwinannya.

Anggota polis, Aipda Harid Kurniawan meminta pengantin yang hanya dikenali sebagai Solihudin itu, melakukan tekan tubi di atas pelaminnya, lapor Tribun News.

“Saya hanya mahu memberi contoh kepada semua tetamu undangan supaya memakai pelitup muka di mana sahaja,” katanya. – Malaysiapost