PELAKON popular, Mira Filzah mengesahkan akan diijab kabul dengan tunangnya, Wan Emir Astar di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur, malam ini.
Pelakon filem Sangkar itu berkata, pernikahan yang sepatutnya berlangsung pada Oktober ini, dipercepatkan berikutan kakak sulungnya yang menetap di New York, Amerika Syarikat tidak dapat berada di Malaysia untuk tempoh yang panjang.
“Sebenarnya pemilihan tarikh perkahwinan yang dilaporkan media sebelum ini adalah betul. Saya dan Emir memang merancang untuk bernikah Oktober depan.
“Namun, disebabkan kakak tidak boleh berulang-alik dengan kerap kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari, jadi saya ambil keputusan mempercepatkan tarikh pernikahan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Tambah Mira, adik bongsunya pula terpaksa menunda sedikit tarikh pernikahan supaya kakak sulung boleh menyaksikan hari bahagia mereka berdua.
Majlis pernikahan Mira dan pasangan boleh disaksikan selama 10 minit menerusi program M Buzz di TV3 jam 9 malam ini, manakala siaran langsung pernikahan pada jam 8.30 malam pula boleh disaksikan di saluran YouTube TV3.
Pelakon berumur 27 tahun itu turut berkongsi detik manis perkenalannya dengan jejaka berkelulusan dari United Kingdom dan bergelar arkitek itu pada Oktober tahun lalu.
Ia sekali gus menyangkal dakwaan sebelum ini di mana ada yang mengatakan Emir adalah teman sekolahnya.
Percubaan pertama bakal suaminya itu
yang menghantar mesej peribadi (DM) di Instagramnya dengan berkongsi mesej kerohanian tetapi tidak dilayan.
“Percubaannya tidak terhenti di situ apabila menghantar pula DM kepada emak. Kebetulan emak memang mengenali arwah bapa Emir, jadi mereka saling berkomunikasi. Sehinggalah emak minta saya supaya mengenali Emir dan minta saya berjumpa dengannya.
“Punca saya terbuka hati semuanya disebabkan ibu dan bapa. Jadi saya pun membalas DM daripada Emir dan hubungan itu kemudiannya berlanjutan ke aplikasi WhatsApp,” katanya.
Mira berkata, selain majlis pernikahan hari ini, dia bakal mengadakan dua lagi majlis resepsi di Le Meridien, Putrajaya, esok dan A-Park, Puchong, Ahad ini.
Dia turut memberitahu menggunakan wang simpanan sendiri untuk ketiga-tiga majlis kerana ingin mengabadikan momen indah itu dengan cara sendiri.
“Ketiga-tiga majlis ini saya keluarkan bajet sendiri kerana tidak mahu bergantung dengan tajaan selain memberi kepuasan berbeza.
“Jujur saya rasa lebih berbaloi keluarkan wang sendiri kerana boleh berkongsi idea dan tema yang diimpikan untuk majlis perkahwinan sekali dalam seumur hidup ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, majlis resepsi esok juga akan disiarkan secara langsung menerusi TV3, manakala majlis resepsi pada Ahad akan disiarkan melalui program Melodi.
Pada 16 Julai lalu, Malaysia Post melaporkan Mira telah bertunang bersama jejaka yang juga anak kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid.
Namun, ketika itu dia tidak mahu memberitahu lanjut tentang pertunangan tersebut kerana masih terlalu awal. – Malaysiapost

