Tak adil persoal Mukhriz terlibat politik, kata Tun M

0
2
mahathir_mukhriz

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan tidak adil bagi pihak tertentu mempersoalkan pembabitan anaknya, Datuk Seri Mukhriz dalam politik, termasuk menjadi pemimpin dalam parti Pejuang yang ditubuhkannya.

“Saya nak jelaskan, semasa saya jadi Perdana Menteri, saya tak bagi anak saya masuk parti (Umno) pun, tak boleh terlibat dalam politik, tak boleh berniaga dalam Malaysia.

“Sekarang saya tak jadi Perdana Menteri, saya nak kena kata nak jaga nama baik saya jangan masuk politik? Itu saya fikir tak adil lah… anak saya pun manusia juga, rakyat negara ini.

“Kalau nak masuk (politik) takkan saya kena kata sampai saya mati baru boleh, susahlah… saya dah 95 (tahun) tak berapa lama lagi pergilah, tapi tak lama lagi PRU15,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media adakah penubuhan parti Pejuang bertujuan memberi laluan kepada Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri, seperti didakwa sesetengah pihak.

Mengulas lanjut, Presiden penaja Pejuang itu berkata ramai pemimpin politik di negara ini mempunyai anak yang turut sama berada dalam kepimpinan sesuatu parti, tetapi tidak dipersoalkan.

“(Mendiang) Karpal Singh anak dia (masuk parti sama), (Lim) Kit Siang ada anak dia, (Allahyarham) Tun Razak pun anak dia… kenapa awak tak adu pasal tu,” katanya. -Malaysiapost