Elemen antirasuah dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan elemen antirasuah melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi murid tahun lima akan diperkenalkan di sekolah, bermula tahun hadapan.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, ia adalah usaha mendidik selain sebagai pencegahan rasuah di peringkat awal persekolahan bagi membanteras gejala berkenaan.

“Pihak saya sedang memberikan tumpuan kepada pendidikan berkesan akan pencegahan rasuah di peringkat persekolahan dan universiti.

“Sebelum ini, subjek pendidikan sivik dan moral bagi sekolah rendah dan menengah telah diperkenalkan termasuklah pendidikan sivik untuk prasekolah yang berkaitan dengan nilai-nilai murni,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

Selain itu, katanya, tiga pusat pengajian tinggi iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) bersetuju untuk mengadakan subjek elektif integriti dan rasuah selaras dengan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NCAP). – Malaysiapost