PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penerokaan tanah secara haram di Raub bagi penanaman durian Musang King, hingga kerajaan negeri hilang jutaan ringgit dari pendapatan hasil cukai.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata siasatan perlu dibuat secara terbuka bagi membolehkan semua pihak mengetahui hal sebenarnya apa yang berlaku serta laporan penuh hendaklah didedahkan secara resmi kepada umum.
Beliau juga meminta kerajaan negeri segera mewartakan tanah terbabit sebagai Tanah Rezab Melayu.
“Kemudian tanah ini wajar diserahkan kepada agensi kerajaan atau ditubuhkan perbadanan atau melantik mana-mana koperasi berwibawa untuk menguruskan tanah tersebut yang ditanam dengan durian Musang King.
“Pekebun yang terlibat boleh menyewa balik tanah tersebut dengan kaedah menang menang, adil dan saksama.
“Inilah cara terbaik dan Putra berharap semua pihak menyokong cadangan yang dikira mulia dan berwibawa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata, pihaknya tertanya-tanya bagaimana sudah ada laluan masuk ke tanah tersebut dan kenderaan lalu lalang begitu lama tetapi tidak ada apa-apa tindakan.
Beliau turut mempersoalkan peranan Jabatan Perhutanan, Majlis Daerah dan penghulu atau ketua kampung serta wakil rakyat yang didakwa berdiam diri sehingga tanah itu secara terbuka diceroboh untuk penanaman durian.
“Mana kedaulatan undang-undang, kerana ia dalam hutan, maka diguna pakai undang-undang rimba?,” katanya.
Baru-baru ini, seramai 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri, berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub.
Sehingga permohonan tersebut didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, kerajaan negeri terpaksa menangguhkan buat sementara semua tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan berkenaan.
Pada 1 Ogos lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak memaklumkan penerokaan tanah secara haram bagi penanaman durian menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah.

