RM1 juta jika Keli Boy lari

0
2

MUNGKIN RM1 juta! Itu jumlah yang perlu Mohamadou Sumareh jelaskan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) jika melanggar syarat kontrak.

Difahamkan gaji pemain naturalisasi pertama negara itu dianggarkan antara AS$15,000 hingga AS$20,000 iaitu bersamaan RM60,000 hingga RM80,000 sebulan.

Memetik laporan Harian Metro, mengikut maklumat daripada pengurusan PBNP, Sumareh sebenarnya mempunyai baki kontrak sehingga 2022 sekali gus perlu membayar jumlah berkenaan jika didapati melanggar perjanjian yang dipersetujui bersama.

Mengulas lebih lanjut berkaitan perkara itu, Pengamal Undang-Undang Sukan Nik Erman Nik Roseli berkata, tindakan terbabit boleh dikenakan terhadap Sumareh selepas majikannya sudah menghantar surat peringatan, mengambil tindakan disiplin atau denda terhadap kesalahan tidak hadir menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah.

Beliau berkata, setiap hukuman atau tindakan daripada majikan perlu berpaksikan terma kontrak yang ditandatangani bersama pemain sebelum tindakan lebih berat boleh diambil terhadap individu berkenaan.

“Kebiasaannya majikan perlu menghantar surat kepada pemain berkenaan bagi mengetahui punca sebenar dia gagal mematuhi syarat kontrak termasuk tidak hadir menjalani latihan lebih sebulan.

“Tindakan seterusnya boleh diambil iaitu menerusi denda atau perkara lain namun majikan juga ada hak untuk meminta pemain membayar sebulan gaji dan menjelaskan semua baki kontrak apabila melihat ada perlanggaran terma yang dipersetujui sebelum ini,” katanya.

Pemain itu tidak lagi kelihatan menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah sejak sebulan lalu sekali gus mencetuskan persoalan ke mana ‘hilangnya’ Sumareh.

Perkara itu menjadi lebih hangat selepas tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid akan berkelana ke Portimonense SC sekali gus melihat kemungkinan Sumareh akan menggantikan posisi ditinggalkan pemain terbabit nanti.

Malah, desas desus Sumareh akan berpindah ke JDT sudah lama bertiup kencang terutama selepas bekas rakan sepasukannya Matthiew Davies turut berubah angin ke pasukan Selatan tanah air itu.