Tengku Zafrul kongsi gambar moyang pilih lagu hari kebangsaan

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

DATUK Seri Tengku Zafrul Aziz hari ini, berkongsi gambar moyang beliau bersama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang sedang berbincang mengenai lagu kebangsaan.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Menteri Kewangan itu memaklumkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein juga terbabit dalam memilih lagu berkenaan.

“Arwah moyang saya, Datuk Mustapha Albakri Haji Hassan (dua dari kanan) bersama Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pertama, dan Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua (kiri). 

“Gambar ini diambil ketika mereka sedang berbincang untuk memilih lagu kebangsaan sempena pengisytiharan kemerdekaan yang bakal berlangsung ketika itu,” katanya.

Beliau memaklumkan, jawatankusa khas yang diketuai Tunku Abdul Rahman itu telah mempertimbangkan lebih 500 cadangan daripada seluruh dunia termasuk penggubah muzik terkenal, namun semuanya ditolak kerana tidak sesuai. 

Akhirnya, kata beliau, Tunku Abdul Rahman telah mengesyorkan untuk mencipta lagu kebangsaan berdasarkan kepada melodi dan rentak lagu negeri Perak, iaitu ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’, yang dikatakan lebih sesuai dengan citarasa tempatan. 

“Lirik lagu kebangsaan telah disedikan oleh jawatankuasa khas tersebut disokong oleh panel penulis dan penggubah. 

“Pada jam 12 tengah malam 31 Ogos 1957, selepas bendera Union Jack diturunkan dan diganti dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, lagu kebangsaan Negaraku dimainkan buat pertama kalinya dan kekal sebagai lagu kebangsaan Malaysia tercinta hingga ke hari ini,” katanya. – Malaysiapost