PRN Sabah: Sekarang masa untuk BN dan rakan memenangi Sabah – Abdul Rahman

0
3

PERBEZAAN pendapat adalah lumrah politik, namun semua orang mesti boleh memgasingkan isu, kata Ketua Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Bekas Setiausaha BN Sabah itu berkata demikian menerusi akaun twitter peribadinya malam tadi.

“Ada masa untuk bercanggah pendapat tetapi sekarang adalah masa untuk Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakannya memenangi Sabah,” katanya.

Kenyataan itu memberi gambaran yang beliau tidak mahu percanggahan pendapat menjejaskan peluang BN dan rakan sekutunya untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.

Sebelum ini dalam satu sidang media, Abdul Rahman Beliau mempertikaikan pelantikan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Sabah kerana kes mahkamah yang dihadapinya.

Abdul Rahman turut mempertikaikan cara Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melantik Bung Moktar yang katanya tidak selari dengan autonomi diberi kepada Umno Sabah.

Bagaimanapun, Bung Moktar ketika mengulas kenyataan Abdul Rahman itu menjelaskan beliau tidak berkecil hati, sebaliknya terus menumpukan usaha menguatkan jentera Umno dan BN di seluruh negeri.

Abdul Rahman menegaskan, ketika ini usaha BN dan rakan sekutunya untuk memenangi PRN adalah lebih penting berbanding perkara lain.

Sementara itu, Abdul Rahman juga menjelaskan mana-mana parti politik yang menawarkan agenda ‘reform’, pembaharuan dan menyokong kuat agenda ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterbukaan mempunyai kelebihan dalam PRN Sabah.

“Dalam keadaan di mana terlalu banyak parti yang mahu bertanding dan ramai personaliti politik yang lama dan baharu menawarkan diri sebagai calon, pengundi akan melihat kepada tawaran mengenai pekerjaan, dasar ekonomi dan ‘bisnes’, pengalaman dan ‘track record’, ideologi politik dan agenda ‘reform’ sesebuah parti politik,” katanya menerusi twitter.

Jelasnya, pengundi kali ini akan lebih ‘cerewet’ membuat pilihan.-Malaysiapost