PRK Slim: Kekalahan biasa bagi calon pembangkang- Mukrhriz

0
2

BAGAIKAN cuba menafikan kekalahan,Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan kekalahan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai satu kebiasaan bagi sesebuah Pilihan Raya Kecil (PRK).

Beliau mendakwa parti kerajaan pada kebiasaannya akan menerima sokongan padu pengundi dalam PRK

“Ini kerana sebarang peruntukan peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan akan terus disalurkan (jika calon kerajaan menang),” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama, di Taman Slim Perdana, Slim River, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas keputusan PRK Dun Slim yang menyaksikan calon BN Mohd Zaidi Aziz menang dengan majoriti besar sebanyak 10,945 undi.

Seorang lagi calon bebas, S Santharasekaran pula hanya memperoleh 276 undi dan hilang wang pertaruhan.

Turut hadir, Amir Khusyairi, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Amiruddin Hamzah dan Senator Datuk Marzuki Yahya

Parti Pejuang yang juga parti serpihan Bersatu juga tewas di kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mempunyai majoriti pengundi Cina dan India.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau yakin situasi sokongan pengundi akan berubah dalam pilihan raya umum nanti.

“Saya ingat dalam PRU keadaan mungkin berubah. Jadi kami terima baik (keputusan) PRK Slim ini,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz menolak dakwaan BN bahawa pengundi muda memihak mereka dalam PRK Slim kali ini.

Ini kerana hampir 35 peratus pengundi muda tidak keluar mengundi pada PRK kali ini.

“Kebiasaanya, 45  hingga 48 peratus adalah pengundi muda dalam satu kawasan. Tapi, di PRK Slim 35 peratus daripada pengundi-pengundi muda tidak turun mengundi kali ini.

“Ini berbeza dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak BN, yang menyatakan kononnya pengundi-pengundi muda menyokong pihak mereka,” tambahnya lagi. -Malaysiapost