PRK Slim: Bukti Cina, India tolak PH

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim membuktikan seluruh kaum menolak pembangkang, kata Setiausaha Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), S Barathidasa, 

Barathidasa berkata keputusan itu memberi bayangan bahawa rakyat tidak percaya bahawa Muafakat Nasional bersifat perkauman.

“BN berjaya memenangi 61.28% (660 undi) di PDM Sungai Slim Utara. PDM ini amat signifikan kerana lebih 60% pengundinya adalah daripada kaum Cina. Pada PRU14, BN hanya berjaya memenangi 17.9% undi di PDM ini

“Bagi PDM Ladang Sungkai yang memiliki 83.56% pengundi India, BN berjaya memperoleh 68.3% (157 undi). Peratusan ini jauh lebih tinggi berbanding gabungan peratusan yang diperoleh PAS dan UMNO pada PRU ke-14 iaitu sebanyak 29.7%,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kekalahan di PRK Dun Slim dan kemerosotan populariti Pakatan Harapan (PH) dalam kesemua PRK sebelum ini, maka ia memberi isyarat gabungan itu bakal berdepan laluan sukar dalam Pilihan Raya  Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata keputusan PRK itu jelas menunjukkan orang Cina dan India di DUN Slim menolak politik rasis PH dengan memberikan undi mereka kepada calon Melayu BN.

“Orang Cina dan India sudah beralih arah daripada PH dan mengundi BN setelah melihat kegagalan PH memerintah negara selama 22 bulan.

“Anak muda juga tidak lagi termakan dengan janji-janji manis pemuda PH yang dicanang sebelum ini. Jelas, anak muda mual dan muak dengan janji peluang pekerjaan yang menjadi harapan palsu,” katanya.-Malaysiapost