PRN Sabah: Mungkin baik juga ada pilihan raya – PM

0
2

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan dapat membetulkan keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Jelasnya, keputusan yang akan dibuat oleh rakyat secara tidak langsung dapat menyelesaikan keadaan sebelum ini.

“Sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab supaya urusan membina Malaysia menjadi sebuah negara maju, makmur dan berjaya. Itu menjadi tanggungjawab saya dan menjadi tanggungjawab pimpinan negeri serta saudara saudari.

“Sebab itu mungkin baik juga ada pilihan raya, kita betulkan sedikit apa keputusan dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri yang dihadiri wakil persatuan etnik dan badan bukan kerajaan (NGO) Sabah di Kota Kinabalu, petang tadi.

Muhyiddin berkata, rakyat Sabah perlu berfikir dengan baik ketika membuat pilihan pada PRN nanti kerana keputusan mereka akan menentukan hala tuju Sabah.

“Sebagai Perdana Menteri yang menerajui Perikatan Nasional (PN), saya tidak mahu Sabah tertinggal kerana negeri ini menjadi komponen penting negara,” katanya.

Bagaimanapun, katanya beliau berdukacita apabila Ketua Menteri Sabah yang juga rakan baik seperjuangannya sebelum ini tidak sehaluan dengannya.

“Sejak berzaman kami berjuang bersama-sama, saya dibuang oleh Perdana Menteri dulu tapi Allah kurniakan saya jadi Perdana Menteri hari ini, Alhamdulillah.

“Shafie pun terkeluar dari jemaah menteri…kami dalam satu saf perjuangan,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan Pusat dan negeri perlu sehaluan, lebih-lebih lagi di Sabah yang masih memerlukan banyak perhatian daripada kedua-dua kerajaan.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak mungkin dapat melaksanakan pembangunan tanpa kerjasama Pusat dan begitu juga sebaliknya.

“Dalam mentadbir negara sebaik mungkin, kerajaan Pusat dan negeri mesti sama, sehati sejiwa. Saya tahu kerajaan Sabah ada sumber, Sabah kaya-raya, banyak khazanah yang belum dibangunkan.

“Tapi saya sedar dan tahu Sabah sejak dahulu ada banyak lagi usaha yang harus dilakukan yang kalau diserahkan kepada negeri sahaja tak mungkin boleh selesai.

“Kalau diserahkan kepada Persekutuan sahaja pun tak boleh selesai, tapi kalau diserah kepada kerajaan negeri dan Persekutuan yang sama-sama berjuang dalam Perikatan Nasional (PN) mungkin banyak masalah boleh selesai, itu logiknya,” katanya. – Malaysiapost

Foto : Ihsan Bersatu Sabah