Nurul Huda Abhar
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendoakan kesihatan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan berharap beliau kembali pulih.
Muhyiddin berkata, sepanjang pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, hubungan antara Malaysia-Jepun bukan sahaja bertambah erat, malah turut dapat meneroka banyak peluang kerjasama baharu.
“Beliau (Shinzo Abe) dikenali kerana wawasannya yang terkehadapan, selain peranannya dalam meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Jepun.
“Hubungan ASEAN dan Jepun juga mencatat banyak pencapaian bermakna di bawah kepimpinan beliau.
“Saya mewakili rakyat Malaysia, mendoakan agar kesihatan beliau kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.
Semalam, Shinzo Abe secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun, susulan masalah kesihatan yang dihadapinya.
“Saya membuat keputusan untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media.
Abe adalah Perdana Menteri Jepun yang paling lama memegang jawatan tersebut, mendedahkan beliau sedang menderita penyakit radang usus kronik atau UC (ulcerative colitis). – Malaysiapost

