TIDAK menjadi isu sekiranya terdapat parti bukan Melayu dalam Perikatan Nasional (PN), kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, Umno sendiri bersama parti bukan Melayu iaitu MCA dan MIC di dalam komponen BN.
“Di dalam Muafakat Nasional (MN), kita bersetuju bahawa bukan sahaja Umno dan PAS tetapi bersama dengan MCA dan MIC.
“Jadi tak timbul isu, kalau dalam PN ada parti bukan melayu, dan sebagainya. Saya difahamkan dia (Bersatu) akan jadi parti campuran.
“Kita walaupun parti Melayu Bumiputera sepenuhnya tetapi rakan kita MCA dan MIC, parti kaum cina dan india…saya percaya isu seperti ini tidak sepatutnya timbul,” katanya pada pemberita di Slim, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai gesaan Tengku Razaleigh Hamzah supaya semua pemimpin Umno berundur dari Kabinet PN kerana Bersatu menerima ahli bukan Melayu.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata di dalam Umno sesiapa sahaja bebas, memberi pandangan baik dari ahli sehingga di peringkat tertinggi.
“Apa-apa keputusan muktamad hanya boleh dibuat majlis tertinggi (MT) Umno.
“Itu pandangan perbadi bukan pandangan parti, pandangan parti hanya dikeluarkan selepas mesyuarat MT,” katanya.- Malaysiapost

