Zuraida nafi terlibat dua projek rundingan terus KPKT

0
2

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menafikan beliau terlibat dalam dua projek rundingan terus semasa mengetuai kementerian itu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Zuraida berkata, beliau maklum mengenai kenyataan Kementerian Kewangan membabitkan projek rundingan terus di bawah PH, yang turut mengaitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Ingin saya tegaskan dua projek yang diluluskan kepada KPKT, sewaktu saya menjawat tugas sebagai menteri semasa pentadbiran terdahulu dibuat di luar pengetahuan saya.

“Justeru, saya ingin memberikan jaminan bahawa KPKT akan melakukan siasatan membabitkan isu yang timbul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan lampiran dikeluarkan Kementerian Kewangan, dua projek rundingan terus membabitkan KPKT adalah bernilai RM170.79 juta.

Ia membabitkan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem kewangan dan perakaunan Saga kepada Century Software (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM501,206.37.

Satu lagi projek kepada Bumi Segar Indah Sdn Bhd bernilai lebih RM170 juta iaitu cadangan projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara di Kepong bagi menggantikan pemindahan sistem pepejal sedia ada. – Malaysiapost