Bersatu nak tanding di mana, tanya Tun M

0
2

Fitri Nizam

BEKAS Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamed melontarkan pertanyaan sinis kepada parti lamanya berkenaan kerusi yang mahu ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pertanyaan itu dilontarkan bekas Perdana Menteri terbabit berdasarkan laporan Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk bertanding di kerusi dimenangi sebelum ini yang kemudiannya pemimpin itu melompat masuk ke Bersatu.

“Umno juga akan bertanding di mana mereka kalah sedikit atau tempat yang kedua dari segi jumlah undi.

“Jadi Bersatu nak bertanding di mana?,” soal Pengerusi Interim Parti Pejuang Tanah Air itu.

Dr Mahathir berkata, realiti politik masa kini amat berbeza kerana perjuangan mereka hanyalah untuk mendapat kemewahan daripada wang ringgit.

“Jawab Menteri dan Timbalan Menteri dari Bersatu, mereka dapat gaji dan elaun besar. Setakat PRU15 (Pilihan Raya Umum) pun tak apalah. Dapat juga. Keluar tak dapat apa.

“Inilah perjuangan, perjuangan untuk dapat duit. Tak banyak sikit, okaylah,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada cara lebih mudah untuk peroleh wang melainkan daripada politik dan bodohlah jika berpegang pada perjuangan asal parti kerana politik lebih menguntungkan.

“Soal apa jadi pada bangsa, pada negara, pada agama pun, itu soal lain bukan soal orang politik. Boleh dapat hingga dua billion Ringgit dari politik.

“Kadang-kadang ada peluang lompat. Okaylah. Tak dapat million (juta), dapat ratusan ribu pun tak apa. Dapat juga,” katanya.

“Apa engkau tanam, itulah yang engkau tuai. Selamat tinggal Bersatu,” katanya. – Malaysiapost