BEKAS Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum disebut-sebut antara bakal calon mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.
Spekulasi mengenai perkara itu timbul berdasarkan khabar angin dan perbualan politik menjelang PRN yang menyebut Richard mungkin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor di Keningau.
Bagaimanapun, Richard ketika ditanya kesahihan berita itu pada Seminar Memperkasa Undang-Undang Adat Anak Negeri di Kota Belud, hari ini enggan memberikan ulasan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika diminta mengulas perkara sama selepas melancarkan jentera pilihan raya Warisan di Bongawan pula tidak mengiyakan atau menafikan berita itu.
Presiden Warisan itu menjelaskan setakat ini belum ada sebarang pengumuman mengenai calon parti itu, selain tiada permohonan daripada Richard untuk menjadi ahli Warisan.
Katanya, Warisan memerlukan sedikit masa lagi untuk memuktamad senarai calon parti itu yang akan bertanding pada PRN nanti.
Richard dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 11 Julai 2018 dan bersara wajib pada 12 April tahun lalu kerana mencapai umur 66 tahun. – Malaysiapost

