Armada mahu sekolah vernakular dimansuhkan

0
1

Nilam Oshman

ARMADA Nasional kekal dengan pendirian mahu sekolah vernakular dimansuhkan secara berperingkat.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata dalam sesi perbahasan di Parlimen semalam, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique membuat kenyataan yang tidak mencerminkan citra nasional bagi menjayakan integrasi kaum di negara ini.

Katanya, Armada secara tuntas menolak kenyataan bahawa sekolah vernakular tidak akan ditutup.

“Biarpun Akta Pendidikan 1996 yang menggantikan Akta Pendidikan 1961 telah memansuhkan kuasa budi bicara Menteri Pendidikan untuk menutup sekolah vernakular pada bila-bila masa.

“Sekolah vernakular jelas mendapat persepsi negatif rakyat apabila rata-ratanya gagal menghasilkan murid yang mampu memperlihatkan jati diri nasional kental.

“Selain itu, terdapat banyak pandangan bahawa penubuhannya kekal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata pendukungan simbol dan pengamalan sosiobudaya teras kebangsaan selaras dengan Kontrak Sosial, antara lainnya menuntut penguasaan bahasa Melayu yang merupakan ‘bahasa kebangsaan’ kita.

“Namun pemerhatian menunjukkan ramai lepasan sekolah vernakular hanya mampu memperlihat penguasaan bahasa ibunda masing-masing.

“Ini disokong data-data kajian ilmiah dan penelitian cendekiawan nasional seperti Prof Dr Teo Kok Seong dari UKM,” katanya.

Beliau berkata jati diri kebangsaan secara unggul juga memerlukan bukan sahaja kefasihan malah penguasaan bahasa kebangsaan dengan baik.

“Rata-rata pelajar sekolah vernakular pula hanya mampu mempamerkan jati diri ‘etnik tertentu’ mengikut aliran persekolahan yang dipisah dan terpisah berdasarkan jalur etnisiti.

“Maka jika dinilai, rata-rata mereka kelihatan tidak nasional atau tidak mencerminkan citra kebangsaan dalam tekad mencapai integrasi nasional,” katanya lagi.

Tambahnya, penjelasan Halimah di Parlimen semalam juga kelihatan menerawang apabila menyatakan perpaduan perlu dimulakan dari asas sejak sekolah rendah, menengah, sehingga universiti, termasuk kepentingan penghayatan aspek rukun negara.

Katanya, teras sosialisasi antara utamanya ialah melalui pendidikan, maka secara jelas anak-anak Malaysia tidak wajar dipisah-pisah melainkan berada di bawah satu bumbung.

“Armada tidak menolak rencam masyarakat, malah meraikan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia kerana inilah keunikan dan kekuatan kita. Namun berbeza-beza biarlah satu!

“Maka, di samping mendokong untuk mengasaskan Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil sebagai subjek utama sekolah kebangsaan di Malaysia, pun begitu perlu jelas bahasa Melayu adalah tali pengikat perpaduan selaras Perlembagaan,” ujarnya.

Beliau juga menyentuh berkenaan soal penghayatan Rukun Negara.

“Maka, dengan hasrat murni untuk mengutuhkan perpaduan negara, Armada kekal dengan pendirian bahawa sekolah vernakular wajar dimansuhkan secara berperingkat.

“Perlu ada usaha untuk memastikan hal ini menjadi keutamaan agenda nasional, dan bukannya digunakan sebagai bahan politik tidak kira di blok kerajaan mahupun pembangkang untuk sekadar meraih undi,” katanya lagi. – Malaysiapost