Pegawai nafi laporan Khairuddin ke Bukit Aman esok

0
2

POLIS meminta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali ke Bukit Aman esok bagi siasatan lanjut berhubung dakwaan pelanggaran perintah kuarantin selepas pulang dari Turki bulan lalu.

Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu disahkan Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid.

“Ya,” katanya ringkas kepada portal berkenaan apabila ditanya jika polis akan memanggil menteri itu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

Bagaimanapun, tiada maklumat terperinci berhubung waktu Khairuddin akan menemui pegawai penyiasat kes tersebut.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menjadi tumpuan selepas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendedahkan menteri itu tidak mematuhi perintah kuarantin selepas pulang drai Turki pada 7 Julai lalu.

Menurut Kok, Khairuddin hadir di Dewan Rakyat pada 13 Julai dan ikut terlibat dalam mesyuarat serta pertemuan dalam tempoh kuarantin 14 hari yang mana menteri itu sepatutnya berada di rumah.

Ia mencetuskan maklum balas awam, termasuklah netizen yang menggesa tindakan diambil terhadap ahli parlimen PAS itu.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap Khairuddin berhubung isu kuarantin.

Sementara itu, salah seorang pegawai Khairuddin ketika dihubungi Malaysiapost, menafikan laporan berkenaan dan menyifatkan ia tidak betul.

Sebaliknya beliau berkata menteri terbabit dijadualkan akan bertemu Yang Dipertua Negeri Melaka di Melaka esok.

“Tak betul, esok beliau ke Melaka, dijadualkan akan bertemu TYT Melaka esok,” katanya ketika dihubungi. – Malaysiapost