Pemain gitar, kakak maut dipercayai terkena renjatan elektrik alat pemanas air

0
2

Dua beradik termasuk pemain gitar profesional maut, dipercayai terkena renjatan elektrik daripada alat pemanas di bilik air di rumah mereka di Batu 11 Jalan Lama Gombak, malam tadi.

Dalam kejadian itu, Wan Radzie Wan Othman, 30, atau dikenali sebagai Eddy Malmsteen dan kakaknya, Wan Zunira, 32, ditemui terbaring dalam bilik air di rumah berkenaan.

Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang juga anak Wan Zunira ditemui dalam keadaan lemah dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11 malam sebelum manghantar anggota ke lokasi.

“Pihak ambulans yang tiba kemudian kedua-dua mangsa yang juga adik-beradik telah meninggal dunia, dipercayai terkena renjatan elektrik.

“Siasatan awal mendapati mangsa wanita sedang memandikan anaknya yang berumur tiga tahun sebelum tiba-tiba terkena renjatan elektrik.

“Adik lelakinya yang kebetulan berada di rumah terdengar jeritan meminta tolong dan dan bergegas ke bilik air untuk membantu, namun turut terkena renjatan elektrik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.