MIC sertai PN secara berdaftar

0
2

Muhammad Afiq

MIC adalah parti komponen BN yang akan menyertai pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang akan ditubuhkan secara berdaftar.

Menurut sumber, pucuk pimpinan BN telah dimaklumkan mengenai hasrat MIC untuk menyertai gabungan PN bersama PAS dan juga Bersatu.

“Ya, MIC adalah parti komponen BN yang akan menyertai PN.

“Perkara itu telah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan BN, dan kita menghormati keputusan yang dibuat parti itu,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, pendaftaran PN akan disertai lima parti yang bersetuju untuk bersama-sama gabungan itu.

Mohamed Azmin berkata, antara lima parti itu, ada sebilangan adalah daripada komponen BN.

Bagaimanapun Mohamed Azmin tidak mendedahkan parti komponen BN yang akan menyertai PN.

Sementara itu sumber berkata, berlaku sedikit salah faham dengan penyertaan MIC bersama gabungan itu.

“MIC menjangkakan Umno akan menyertai PN secara rasmi memandangkan PAS yang juga rakan komponen Muafakat Nasional turut menyertai PN.

“Jadi, tidak mengapalah jika MIC ingin menyertai PN kerana mereka masih komponen BN,” katanya.

Pada 30 Julai lalu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan yang parti itu membuat keputusan muktamad tidak menyertai PN.- Malaysiapost