Fitri Nizam
Lelaki yang disyaki mendera kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hingga mati dalam kejadian di Pangsapuri Vista Perdana, semalam, sudah ditahan.
Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) ketika dia sedang berehat dalam keretanya di Jalan PJS 9/1 Subang Jaya, kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Produa Bezza di tepi jalan dekat lokasi terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat untuk membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, suspek yang juga seorang pemandu e-hailing diburu bagi membantu siasatan berhubung kematian kanak-kanak itu.
Menurut Nik Ezanee, kejadian itu disiasat selepas pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berusia 23 tahun yang melaporkan seorang kanak-kanak lelaki tidak sedarkan diri dipercayai didera kira-kira jam 11.45 malam tadi.
“Sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke pangsapuri berkenaan dan mendapati seorang wanita sedang mendukung seorang kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri menunggu ambulans di pekarangan pangsapuri berkenaan.
“Dalam keadaan cemas itu, pihak polis memberi bantuan dengan membawa kanak-kanak itu serta wanita yang juga ibu mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sebaik tiba di PPUM, mangsa disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan menemui kesan kecederaan di kepalanya.
“Hasil maklumat awal yang diterima daripada ibu mangsa mendapati mangsa ditinggalkan bersama teman lelaki wanita itu ketika dia keluar untuk membeli makanan.
“Sebaik pulang, dia mendapati kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri dipercayai didera oleh teman lelakinya dan lelaki turut didapati sudah menghilangkan diri,” katanya.

