Ingkar kuarantin: Menteri pulangkan gaji Mei hingga Ogos

0
1

DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan memulangkan semua gaji sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi Mei hingga Ogos 2020.

Katanya, ia sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia dibuat susulan isu beliau tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari luar negara, baru-baru ini.

“Gaji Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet sebelum ini.

“Saya juga akan terus bekerja keras dan melipatgandakan lagi segala usaha dan tenaga saya untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai menteri.

“(ni) bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka,” katanya menerusi kenyataan petang ini.

Beliau turut memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku.

“Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan SOP (prosedur operasi standard) sepanjang tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya.

Terdahulu, KKM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lalu dan telah menjelaskan bayaran tersebut.

Beliau didapati mengingkari Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta 342].

Isu membabitkan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu hangat diperkatakan pelbagai pihak termasuk pembangkang apabila didakwa tidak mematuhi perintah kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari luar negara.

Ia juga menjadi perdebatan di Dewan Rakyat termasuk dalam kalangan warganet yang berang dengan tindakan Mohd Khairuddin walaupun berstatus Menteri.