PRN Sabah: Musang King jana ekonomi DUN Petagas

0
2

Skim Menjana Ekonomi biasanya menawarkan bantuan kewangan kepada orang ramai yang mahu berniaga, namun berbeza di Petagas, Putatan, penduduk ditawarkan anak pokok durian Musang King percuma.

Inisiatif diambil penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Datuk Uda Sulai itu sepatutnya dilaksanakan Mac lalu tetapi terpaksa ditunda disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehingga kini, sebanyak 1,000 anak pokok durian Musang King diagihkan kepada penduduk dengan setiap keluarga menerima satu anak pokok untuk ditanam.

Selain menggalakkan penduduk menanam buah-buahan, Uda menjelaskan inisiatif itu dilaksanakan berikutan potensi Musang King menjana pendapatan tambahan kepada penduduk apabila ia mula berbuah.

“Skim menjana ekonomi penduduk kawasan DUN Petagas, sepatutnya dilaksanakan pada 22 Mac 2020 tetapi disebabkan PKP, program terpaksa ditunda.

“Program ini menjana ekonomi penduduk DUN Petagas melalui usaha pertanian sub-urban. Saya memberi bibit Musang King kepada penduduk DUN Petagas yang mempunyai kawasan tanah untuk menanam Musang King.

“Mengikut kajian universiti tempatan, satu pokok Musang King boleh membuahkan lebih kurang 100 biji dengan berat sekurang-kurangnya atau lebih sekilogram sebiji,” katanya dipetik dalam ‘posting’ Facebook beliau.

Katanya, jika semua 1,000 pokok durian Musang King yang diagihkan itu berbuah, ia boleh menghasilkan kira-kira 100,000 biji buah semusim dengan harga keseluruhan RM6 juta berdasarkan harga semasa RM60 sekilogram.

“Insya-Allah, program ini akan berterusan selagi mandat diberi kepada saya,” katanya.

Uda memenangi DUN Petagas atas tiket Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas menewaskan calon BN daripada Umno yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.