Speaker jelas tujuan henti persidangan Dewan Rakyat 10 minit

0
1

Aiman Hanif

[Parlimen] Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen berhubung tindakannya menghentikan persidangan selama 10 minit sebelum pengundian belah bahagian mengenai Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2020, dilakukan semalam.

Beliau menafikan tuduhan pembangkang bahawa ia cubaan untuk membantu pihak kerajaan memastikan jumlah Ahli Parlimen mencukupi pada proses pengundian.

Jelasnya, ketetapan itu adalah petua yang dimasyhurkan 11 Ogos lalu, tanpa sebarang bantahan daripada wakil rakyat.

“Bila saya masyhurkan pada 11 Ogos lalu saya tidak dapat apa-apa maklumbalas negatif dari mana-mana ahli parlimen,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 berjaya diluluskan di peringkat dasar semalam.

Sebelum proses undian berlangsung, Azhar menghentikan mesyuarat Dewan Rakyat itu selama 10 minit dan meninggalkan dewan sehingga mengundang rasa tidak puas hati Ahli Parlimen di blok pembangkang yang mempersoalkan tindakannya.

RUU itu kemudian diluluskan dengan sokongan 111 anggota parlimen manakala 106 yang lain memilih untuk menentangnya. Lima lagi tidak hadir.

Menjelaskan secara lanjut, Azhar berkata Dewan Rakyat sebelum ini telah bersetuju untuk memberi tempoh 10 minit kepada Ahli Parlimen bergerak masuk ke dalam dewan jika ada proses pengundian belah bahagian.

Peraturan itu adalah sebahagian daripada “norma baru” memandangkan penggunaan lif ketika ini juga mempunyai had bagi penjarakan sosial.

Azhar juga berkata, henti waktu 10 minit setelah loceng dibunyikan selama dua minit, adalah untuk membolehkan Ahli Parlimen berjalan dari blok pejabat ke Dewan Rakyat.

“Semalam bila saya cuba terangkan, suara saya ditenggalami lautan keghairahan ahli-ahli Yang Berhormat yang mahu ambil bahagian dalam (pengundian) belah bahagi.

“Oleh itu, saya harap tak timbul lagi kekeliruan seperti ini,” katanya selepas sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.