Polis siasat ‘SD liwat’ walaupun ‘rimas’- KPN

0
2

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini menyuarakan rasa kurang senang apabila pihak polis sekali lagi terpaksa menyiasat dakwaan liwat yang dikaitkan dengan seorang pemimpin politik ternama negara.

Beliau berkata, kertas siasatan mengenai perkara itu telah dibuka oleh pihak berkuasa memandangkan laporan polis telah dibuat.

“Ia membuang banyak masa. Tetapi oleh kerana satu laporan polis telah dibuat dan satu kertas siasatan telah dibuka,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.

Semalam media melaporkan Bukit Aman sedang menyiasat satu akuan bersumpah (SD) yang tersebar di media sosial mengaitkan seorang pemimpin politik dengan tuduhan kes liwat.

Berdasarkan SD yang tular itu, lelaki berkenaan mendakwa menerima bayaran RM300 selepas melakukan perbuatan itu dengan pemimpin politik berkenaan.

Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya sudah menerima laporan polis berhubung perkara itu kelmarin.

Oleh itu siasatan lanjut berhubung tuduhan itu sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Kita sudah menerima laporan itu semalam dan kini siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Abdul Hamid tanpa berselindung meluahkan yang beliau rasa rimas dengan kes sebegitu.

“Rimas…rimaslah saya dalam hal-hal macam ini,” katanya.

Ia kes yang kedua disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika di bawah teraju beliau.

Kes pertama yang disiasat sebelum ini dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet.