Kluster Sivagangga, Ulu tiram pembawa mutasi D614G – Dr Noor Hisham

0
2

Nilam Oshman

Kluster Sivagangga dan Kluster Ulu tiram dikesan mempunyai virus Covid-19 berserta mutasi D614G baharu yang merebak dalam tempoh singkat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian makmal mengenal pasti PUI Sivagangga merebak dari individu yang mempunyai virus Covid-19 berserta mutasi D614G hanya dalam tempoh singkat menjangkiti orang lain.

“Ujian di dalam makmal mengenal pasti mutasi D614G yang dikatakan kebolehjangkitan 10 kali lebih tinggi dari virus biasa.

“Kita dapati kluster yang kita pantau iaitu PUI Sivagangga merebak dengan cepat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 6,035 ujian dalam kelompok atau kawasan Kluster Sivagangga dan mengenal pasti 46 kes positif dan mengasingkan mereka di hospital.

“Kes negatif tetapi terdedah dengan individu positif, kita kuarantin di hospital

“Tindakan awal kita dapat memutuskan rantaian jangkitan walaupun ada mutasi iaitu bersifat lebih agresif, namun dapat dikawal dengan kesihatan awam. Jadi makmal masih menjalankan kajian,” katanya.

Katanya lagi, selain Kluster Sivagangga, setakat ini KKM mengenal pasti Kluster Ulu Tiram yang membabitkan warga Filipina mempunyai mutasi tersebut.

Ditanya mengenai pakar Singapura mempersoalkan D146G mudah tersebar, Dr Noor Hisham berkata, setiap hari semua pihak belajar perkara baharu dan sekarang ini terbukti di dalam makmal mutasi tersebut kebolehjangkitannya sangat tinggi.

“Kita ada kes, PUI Sivagangga yang dikesan menerusi cara penularan Covid-19 di Kedah begitu cepat sekali, dalam tempoh singkat dan ramai dijangkiti.

“Banyak persoalan tetapi tiada jawapan. Yang penting, kita perlu patuh pada SOP,” katanya.