Anda petugas barisan hadapan? Ini berita baik untuk anda kerana mulai semalam hingga 16 September, anda berpeluang menikmati pemandangan pada ketinggian 300 meter dari aras bumi secara percuma.
Ini sebagai tanda penghargaan dan terima kasih Menara Kuala Lumpur atas usaha serta semangat wira barisan hadapan dalam membantu untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar berkata menerusi promosi ‘Untukmu Wiraku’, petugas barisan hadapan boleh melawat Pelantar Pemandangan Terbuka (Sky Deck) dan Pelantar Pemandangan secara percuma.
Menurutnya, petugas yang ingin melawat hanya perlu menunjukkan dokumen kerja yang sah ketika pembelian tiket di kaunter untuk menikmati promosi tersebut.
Pengiring pertama dan kedua dikenakan bayaran RM10 setiap seorang, sementara pengiring ketiga dan seterusnya dikenakan bayaran diskaun 50 peratus setiap seorang.
Promosi tersebut dikhaskan untuk petugas barisan hadapan warga Malaysia yang masih berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia termasuk organisasi penjagaan kesihatan swasta.
Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Tawaran ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dan turut terbuka untuk ke Star View, iaitu Pelantar Pemandangan di Menara Alor Setar, Kedah.

