[Dunia] China telah mendaftarkan paten vaksin Covid-19 yang pertama dan ia diperakui oleh Pentadbiran Harta Intelek Nasional negara berkenaan.
Memetik laporan Agensi, permohonan paten vaksin tersebut juga adalah usaha sama bersama pasukan penyelidik Akademi Sains Perubatan Tentera dan syarikat bioteknologi China Cansino Biologi.
Kajian penyelidikan vaksin berkenaan dibuat oleh kumpulan saintis yang diketuai Chen Wei, yang juga penyelidik di Institut Perubatan Ketenteraan di bawah akademi tersebut.
Kumpulan saintis itu telah membangunkan vaksin Covid-19 yang sudah disesuaikan dengan vaksin vektor adenovirus, seperti yang dilaporkan People’s Daily.
Terdahulu, vaksin terbabit menjadi yang pertama di China diluluskan untuk menjalani ujian klinikal di peringkat seterusnya pada Mac lalu.
Selain itu, paten abstrak, vaksin berkenaan menunjukkan tahap imunogenik yang baik terhadap tikus dan monyet serta mengaktifkan tindak balas imun selular dalam jangka masa yang singkat.
Justeru, vaksin terbabit dapat dihasilkan dengan cepat dalam skala besar bagi mengatasi wabak Covid-19.
Difahamkan, ujian klinikal fasa-1 dan fasa-2 untuk vaksin itu telah selesai, dan ia mengesahkan status keselamatan dan imunogeniknya.
Dalam masa yang sama, Britain dan Rusia ketika ini sedang berusaha untuk membangunkan vaksin menggunakan teknologi yang sama.

