Muhammad Afiq
[Parlimen] “Ada ke RUU (rang undang-undang) pengkhianatan?,” demikian respon Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said apabila wakil rakyat kerajaan dan pembangkang serta Bebas membangkitkan isu pengkhianatan.
Isu pengkhianatan bermula ketika Datuk Bung Moktar Radin (BN- Kinabatangan) berbahas yang mana Mohamed Hanipa Maidin (PH- Sepang) mencelah.
Ketika pencelahan itu, Hanipa secara sinis bertanya apakah perpaduan bermula dengan pengkhianatan wakil rakyat Bersatu dan PAS membentuk Perikatan Nasional (PN).
Bung menganggap pihak yang menganggap perkara itu sebagai pengkhianatan adalah mereka yang kecewa.
Membalas kenyataan Hanipa, Bung berkata pemimpin Amanah itu juga seorang pengkhianat apabila bertindak keluar PAS sebelum ini.
Kemudiannya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN- Baling) mencelah dan mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini turut menerima pengkhianat menyertai parti itu.
Ia merujuk kepada bekas wakil rakyat BN yang lompat parti dan menyertai Bersatu.
Pencelahan Abdul Azeez itu mendapat perhatian Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) yang menegaskan bahawa bekas partinya tidak pernah menerima wakil rakyat Umno menyertai Bersatu.
Sebaliknya bekas wakil rakyat Umno yang menyertai Bersatu terlebih dulu mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.
Mahathir turut membidas pemimpin Bersatu yang didakwa mengkhianati asas penubuhan parti itu.
“Tetapi yang saya tahu berkenaan dengan pengkhianatan, satu orang masuk dalam parti berjanji untuk tolak parti yang memerintah kerana mereka telah terlibat dengan kleptokrasi, curi duit, rasuah dan sebagainya.
“Rakyat percaya akan apa yang dinyatakan oleh orang ini, setelah rakyat pilih orang ini mereka menolak harapan rakyat dan mengkhianati mereka dengan beralih untuk menyokong parti yang dulu katanya mereka melawan. Ini satu pengkhianatan juga,” kata Mahathir ketika mencelah.
Tidak mahu memanjangkan lagi isu berkenaan Azlina kemudiannya mengingatkan wakil rakyat bahawa mereka kini sedang membahaskan RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) tahun 2020.
“Yang berhomat sebelum sambung perbahasan sekejap lagi, saya ingatkan kita ini dalam perbahasan RUU…ada ke RUU pengkhianatan?,” kata Azalina bagi menghentikan pertikaian itu.

