PRN Sabah: 3 bekas Ketua Menteri era penggiliran dijangka bertanding

0
2

Thaddius Unnip

Tiga bekas Ketua Menteri Sabah ketika era penggiliran jawatan itu antara 1994 hingga 2003 dijangka bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Mereka ialah bekas Bendahari Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee dan bekas Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Tan Sri Chong Kah Kiat.

Salleh menjadi ketua Menteri antara 1994 hingga 1996, diikuti Teck Lee (1996-1998) dan Kah Kiat (2001-2003).

Difahamkan, besar kemungkinan Salleh akan kembali bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan yang pernah disandangnya sebelum ini atau Tempasuk.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu memohon menyertai semula Umno baru-baru ini selepas membatalkan permohonan menyertai PKR yang dibuat pada tahun lalu.

Beliau kalah di tangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Isnaraisah Munirah Majilis di Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018 sebelum membuat keputusan keluar Umno pada akhir tahun itu.

Teck Lee pula dijangka bertanding di kerusi tradisinya, DUN Likas atau berpindah ke DUN Api-Api untuk menggalas cabaran SAPP memenangi kerusi pada kali ini.

Parti itu gagal memenangi sebarang kerusi pada PRU14, malah Teck Lee yang tidak bertanding kerusi DUN kalah teruk di Parlimen Kota Kinabalu dengan hanya mendapat 3,132 undi.

Calon DAP, Chan Foong Hin memenangi kerusi Parlimen Kota Kinabalu dengan 31,632 undi.

Salleh dan Teck Lee bagaimanapun belum tampil menyatakan bertanding atau tidak, namun aktiviti mereka yang semakin kerap turun padang dan memuat naik kenyataan berkaitan situasi politik semasa di Sabah memberi gambaran ke arah itu.

Sementara itu, menurut sumber, Kah Kiat dijangka bertanding semula di kerusi DUN Tanjung Kapor, Kudat yang pernah disandangnya ketika menjadi Ketua Menteri dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sehingga 2008.

Tanjong Kapor adalah kerusi tradisi LDP ketika era BN, namun terlepas ke tangan Warisan pada 2018.

Calonnya, Datuk Teo Chee Kang yang juga presiden LDP ketika itu hanya memperolehi 6,132 undi, berbanding calon Warisan, Chong Chen Bin dengan 9,124 undi.

Jika tidak di Tanjung Kapor, Kah Kiat dikatakan mungkin berpindah ke DUN Api-Api di Kota Kinabalu.

Kah Kiat atau kepemimpinan LDP juga belum membuat sebarang kenyataan rasmi sama ada akan bertanding atau tidak, namun sumber yang dekat dengannya mengesahkan beliau akan bertanding.

Kebanyakan parti belum membuat kenyataan rasmi berkaitan calon kerana masing-masing menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas membincangkan tarikh penting PRN Sabah esok.

Esok juga Mahkamah Tinggi dijangka membuat keputusan berhubung semakan kehakiman yang difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mengenai pembubaran DUN. 

Kerajaan Sabah diketuai lima Ketua Menteri ketika era penggiliran itu dengan dua lagi ialah Datuk Osu Sukam (1999-2001) dari Umno dan Tan Sri Bernard Dompok (1998-1999) dari Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Sistem penggiliran Ketua Menteri yang menghadkan tempoh perkhidmatan jawatan itu selama dua tahun ditamatkan selepas Musa dilantik menggantikan Kah Kiat pada Mac 2003.