Fitri Nizam
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin dilaporkan dalam keadaan sedar namun masih mendapatkan rawatan selepas terbabit dalam kemalangan ngeri pada perlumbaan Grand Prix (GP) Austria, hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata, beliau menerima perkhabaran kemalangan itu daripada ketua pasukan Petronas Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali.
“Saya baru terima khabar tentang kemalangan Hafizh Syahrin daripada Dato Razlan Razali (Ketua pasukan Petronas SRT Yamaha) sebentar tadi dan Alhamdulillah, beliau dalam keadaan sedar.
“Diharap tiada kecederaan yang serius dialami susulan kemalangan terbabit. Saya akan sentiasa berhubung dengan pihak Austria untuk memberikan bantuan jika diperlukan,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Dalam insiden mengerikan itu, pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini terjatuh dengan jenteranya berada di tengah laluan sebelum Hafizh yang tidak menyedari kemalangan itu gagal mengelak dan melanggar motosikal pelumba Italtrans Racing Team berkenaan.
Menerusi rakaman video yang tular, motosikal Hafizh dilihat berkecai manakala pelumba Openbank Aspar Team itu melambung tinggi di udara.

Kemalangan itu turut membabitkan beberapa pelumba lain iaitu Andi Farid Izdihar (IDEMITSU Honda Team Asia) dan Edgar Pons (Federal Oil Gresini Moto2) sebelum saingan terpaksa dikibarkan bendera merah susulan insiden berkenaan.
Sementara itu, Razlan berkata Hafizh tidak mengalami sebarang keretakan namun perlu terus berada di hospital untuk pemerhatian.

