[PRK Slim] Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon mereka yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim River mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ini kerana ada penduduk dan penyokong berpusu-pusu untuk bersalam dan mengambil gambar dengan pemimpin parti kegemaran mereka yang turun berkempen.
“Kalau di tempat yang bersesak pakai pelitup muka dan cuba melakukan penjarakan fizikal.
“Kalau tidak dapat mengelak penjarakan fizikal di kawasan yang sesak, kemudian mesti pakai pelitup muka,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Sebelum ini beliau mengadakan lawatan bersama calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz di Pekan Slim, hari ini.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata apa yang lebih penting adalah penyokong mesti menjaga kesihatan diri mereka.
“Kita kerja untuk pastikan calon kita menang dengan bergaya. Tetapi, dalam masa yang sama saya harap jaga kesihatan, keselamatan diri,” katanya.
PRK Slim River diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu, akibat serangan jantung.
Hari mengundi telah ditetapkan pada 29 Ogos, dengan pengundian awal pada 25 Ogos.

