Fitri Nizam
‘Aku berhenti seketika mencari (Muhammad) Zahir (Zahiruddin Putra), kerana aku sakit dan kewangan yang semakin berkurangan’.
Itulah coretan Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 46, bapa kepada kanak-kanak berusia lapan tahun yang hilang di Bandar Seri Putra, Bangi, sejak 16 April tahun lalu.
Coretan dimuat naik di Facebook miliknya itu menarik perhatian netizen apabila mendapat 4,100 tanda suka, 1,500 komen dan diulang siar sebanyak 1,600 kali.
Mohd Fauzi dalam coretan itu berkata, mereka sekeluarga amat merindui anak kelima dari enam beradik itu dan memohon supaya Allah melindungi kanak-kanak itu daripada melapetaka.
“Ikhtiar sebelum ini, aku dapat rasakan Zahir makin dekat. Aku sekeluarga makin kerap bermimpi, Zahir balik ke rumah.
“Kadang-kadang seperti kelibat Zahir berada di rumah. Ya Allah, kembalikan Zahir ke dunia yang nyata,” luahnya.

Dalam coretan itu, Mohd Fauzi berkata, pencarian Zahir kini terhenti seketika kerana dia sedang sakit dan mengalami masalah kewangan.
“Aku akan mencari semula apabila aku sihat semua… Ya Allah, aku redha ketentuan mu Ya Allah. Tidak akan bergerak sebesar zarah dengan izin Mu.
“Ya Allah, ini adalah ujian ku daripada mu ya Allah… Ya Allah, izinkanlah Zahir kembali kepada kami. Kerinduan ini tidak tertahan rasanya,” katanya.
Rata-rata netizen yang terkesan dengan coretan Mohd Fauzi turut mendoakan supaya kesulitannya dipermudahkan dan dipertemukan semula dengan anaknya yang hilang.


