Fitri Nizam
Sebanyak 25 kes baharu wabak Covid-19 dicatatkan hari ini iaitu 16 kes adalah pesakit import manakala sembilan adalah penularan tempatan.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), daripada 16 kes import terbabit 11 daripadanya membabitkan warganegara manakala lima lagi bukan warganegara.
“Thailand (1 kes Kuala Lumpur); Hong Kong (1 kes Kuala Lumpur); Indonesia (2 kes Kuala Lumpur); India (2 kes di Selangor; 1 kes Kuala Lumpur); Arab Saudi (3 kes Persekutuan Kuala Lumpur); Pakistan (2 kes Kuala Lumpur); Yaman (1 kes Kuala Lumpur); Lubnan (1 kes di Selangor); United Kingdom (1 kes di Selangor); dan Jepun (1 kes di Selangor),” katanya.
KKM berkata, sembilan kes penularan tempatan adalah membabitkan tujuh warganegara iaitu di Kedah lima kes manakala Sabah dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan satu kes.
“Terdapat dua kes jangkitan dalam negara yang dikesan dalam kalangan bukan warganegara di Kuala Lumpur.
“Kedua-dua kes ini merupakan saringan rawak di tempat kerja oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang melibatkan pekerja kedai makan,” katanya.
Sehingga kini, terdapat tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

