Polis Kuala Kumpur menyasarkan kira-kira 2,000 kamera litar tertutup (CCTV) untuk dipasang sekitar kawasan ibu negara dalam usaha menangani jenayah serta memantau isu keselamatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pemasangan CCTV itu akan dilakukan di kawasan ‘hot spot’.
“Kami akan cadangkan perkara ini kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk kita pasang di kawasan yang dikenal pasti banyak aktiviti perniagaan dan pelancongan.
“Setakat ini, hanya 309 CCTV sedia ada di kawasan sekitar bandar raya ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan khas bersama penduduk, wakil agensi awam dan swasta di kawasan Sentul, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan dilaporkan bercadang menambah sehingga 5,000 CCTV di kawasan strategik bagi menjadikan ibu negara sebagai sebuah bandar yang lebih selamat dan kondusif untuk membeli-belah.
Annuar berkata, beliau telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjalin kerjasama dengan pihak swasta terutama pemaju dalam pemasangan kamera itu.

