Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini merayu kepada pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim agar menunjukkan rasa simpati mereka kepada beliau dengan memenangkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz.
Berucap di hadapan kira-kira 500 pengundi dan penyokong BN dalam ceramah sulung gabungan itu di Felda Gunung Besout 1 hari ini, Najib memaklumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini adalah pembuka tirai kepada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Zaman Pakatan Harapan (PH), dahlah kita dituduh macam-macam. Saya dituduh pencuri, tapi setakat ini di mahkamah baru disabit satu kes RM42 juta.
“Itu pun 99 peratus saya belanja dana untuk kebajikan dan kerja amal politik. Ini terbukti di mahkamah.
“Saya belanja 99 peratus dana (daripada RM42 juta itu) kepada Umno, BN, rumah penyayang anak yatim dan tahfiz. Pun saya didenda. Mana patut?,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Menurut Najib, yang disabitkan tujuh kesalahan melibatkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram oleh mahkamah itu – demi kebenaran dia sanggup bersumpah dalam mahkamah bahawa dia tidak meminta atau ditawarkan dana berkenaan.
“Jadi tuan-tuan fikirlah sendiri. Kalau simpati pada saya, tunjuklah dalam PRK ini bahawa BN ada di pihak yang benar dan kita nak betulkan keadaan dalam negara ini,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapan hari ini juga Najib dilihat cuba mengelak daripada menyentuh isu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sebaliknya, Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu lebih gemar menyenaraikan kejayaan kerajaan BN dan kekuatan Muafakat Nasional (MN), iaitu sebuah kerjasama politik secara rasmi antara Umno dan PAS.
PRK Slim menyaksikan calon BN. Mohd Zaidi dicabar dua calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi – yang disokong kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti Pejuang Tanah Air – serta Santharasekaran Subramania.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu, akibat serangan jantung.
Hari mengundi diadakan pada 29 Ogos ini dengan pengundian awal 25 Ogos.

