Dalam semarak bulan kemerdekaan, YouTube dengan kerjasama beberapa syarikat penerbitan filem membawa sedikit kelainan meraikan Hari Merdeka dan Hari Malaysia.
Biarpun sambutan sedikit berbeza berikutan masih dalam pandemik Covid-19, YouTube tidak melepaskan peluang menyediakan hiburan tontonan terbaik melalui platformnya sendiri.
Bermula 15 Ogos hingga 16 September, pelbagai karya tempatan akan disiarkan secara langsung di saluran YouTube Google Malaysia dan laman Youtube, sebagai sebahagian daripada inisiatif YouTube Super Stream.
Antara sajian menarik yang bakal menemui pelayar adalah filem Bunohan, karya tempatan yang menjadi entri rasmi dalam Anugerah Oscar 2013 bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.
Selain itu, terdapat 50 filem tempatan disediakan oleh WebTVAsia antara 29 Ogos hingga 16 September.
Tidak ketinggalan, Media Prima turut menyediakan tayangan TV yang menarik seperti Seindah 7 Warna Pelangi dan Cari Aku Di Syurga yang boleh ditonton antara 17 Ogos dan 23 Ogos.
Bagi yang ingin mengimbau kenangan filem sketsa komedi tahun 1990-an, siri komedi Senario bakal menemui anda daripada 24 Ogos hingga 1 September.
Tidak lupa juga Astro membariskan drama Setelah Terlafaznya Akad, rancangan bual bicara Next To Neelofa, siri realiti The House musim lima yang menampilkan beberapa nama terkenal di Malaysia dari 1 hingga 14 September
Anda peminat anime? Muse Malaysia membawa kepada penonton episod baharu seperti One Punch Man dan That Time I Got Reinkarnated As A Slime, lengkap dengan sari kata Bahasa Malaysia, antara 15 Ogos dan 1 September.
Menurut Pengurus Youtube (Malaysia-Singapura), Yang Jin-an insiatif perkongsian video melalui platform tersebut kali pertama diadakan di dua negara sahaja, iaitu Malaysia dan Filipina.

