Duit Yayasan TH tak masuk akaun Umno – Azeez

0
2

Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim menafikan tuduhan kononnya wang milik Yayasan TH dipindahkan ke akaun Umno pada 2017.

Sebaliknya beliau berkata, apa yang berlaku pada tahun itu ialah Umno menyumbang RM8 juta kepada yayasan berkenaan untuk membantu orang susah dalam kalangan pendeposit TH serta golongan asnaf ketika Ramadan.

“Setiap tahun TH keluarkan zakat RM7 juta untuk diagihkan, tetapi pada tahun itu terlalu banyak orang susah (disebabkan) harga getah dan kelapa sawit jatuh.

“Apa yang berlaku Umno beri RM8 juta kepada Yayasan TH. Duit tu diserahkan kepada TH melalui setiap cawangan pada Ramadan 2017, saya sendiri agihkan.

“Duit TH pergi Umno tak betul sama sekali,” katanya dalam program Berani Semuka: Mujahid vs Azeez anjuran Sinar Harian di Shah Alam malam tadi.

Abdul Azeez berkata beliau telah beberapa kali dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan itu namun sehingga kini ia tidak dapat dibuktikan.

“Sampai hari Ini sudah (termasuk) 22 bulan (kerajaan Pakatan Harapan memerintah) saya tak dituduh (di mahkamah),” katanya.

Mengenai perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya ketika ini, Ahli Parlimen Baling itu menjelaskan tiada satu pun berkaitan dengan TH mahupun Yayasan TH.

“Saya tak pernah dituduh walau satu kes atas nama TH, tuduhan ke atas saya semua berkaitan syarikat saya, sebagai Ahli Parlimen tak salah saya berniaga, tapi langsung tak melibatkan TH,” katanya.

Pada 30 November 2018, TH membuat dua laporan polis terhadap Abdul Azeez Rahim; dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta pengurusan kanannya.

Salah satu laporan polis itu berkaitan Program Yayasan TH 2017 apabila dana sejumlah RM22 juta didakwa dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Yayasan TH ditubuhkan pada 2016 untuk mengambil alih dana kemanusiaan dan menyumbang kepada yang golongan kurang mampu, miskin dan memerlukan.