KDNK menguncup 17.1 peratus, namun bertambah baik

0
2

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 17.1 peratus pada suku kedua (ST2) 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi kenyataan berkata berdasarkan analisa lebih mendalam, penambahbaikan pertumbuhan KDNK itu susulan pemulihan ekonomi yang kukuh selepas pembukaan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Perlu ditekankan penambahbaikan pertumbuhan jelas dapat dilihat dari April (-28.6%), kepada Mei (-19.5%) dan Jun (-3.2%).

“Angka KDNK pada Jun 2020 jelas menunjukkan pemulihan ekonomi yang kukuh sejajar pembukaan dan pelaksaanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Beliau berkata pengucupan pertumbuhan KDNK itu sudah dijangka memandangkan penguatkuasaan PKP sejak Mac hingga Mei menyebabkan gangguan serentak kepada rantaian bekalan dan penggunaan swasta.

“Sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pembinaan terjejas akibat penutupan sempadan antarabangsa, serta pelaksanaan PKP oleh kerajaan antara yang paling tegas di rantau ini bagi membendung Covid-19.

“Ini ternyata dalam kejayaan Malaysia mengawal penularan pandemik ini di peringkat domestik, sekali gus membolehan ekonomi dibuka secara beransur-ansur mulai 4 Mei 2020,” katanya.

Jelas Tengku Zafrul pengucupan pertumbuhan suku kedua itu turut dialami negara lain, malah Dana Kewangan Dunia (IMF) mengunjurkan lebih 150 negara melaporkan penguncupan pertumbuhan sebanyak dua digit bagi tempoh itu.

Katanya, bagi mengurangkan impak ke atas ekonomi, kerajaan pantas memperkenalkan 80 langkah dan inisiatif di bawah pakej ransangan dan pemulihan ekonomi iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS Plus dan juga PENJANA dengan nilai keseluruhan RM295 billion.

“Kerajaan yakin langkah-langkah yang diambil akan terus meringankan cabaran dan beban aliran tunai,” katanya.

Berikut 10 kesan positif pemulihan ekonomi negara dalam tempoh suku kedua tahun ini.

Angka terbaharu dari petunjuk jangka pendek telah menunjukkan kesan positif yang memberangsangkan dan pemulihan ekonomi negara.

1) Eksport negara berkembang 8.8% dari tahun-ke-tahun pada bulan Jun 2020, peningkatan dari -25.5% yang dicatat pada Mei.

2) Indeks Pengeluaran Perindustrian (Industrial Production Index) meningkat 26.2% dari bulan-ke-bulan pada Jun 2020 (-0.4% tahun-ke-tahun berbanding Mei: -21.6% tahun-ke-tahun);

3) Nilai jualan runcit dan borong turut mencatatkan peningkatakan sebanyak 21.8 peratus pada Jun berbanding bulan sebelumnya.

4) Manakala Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk sektor Pembuatan di Malaysia telah meningkat dari nilai terendah pada tahun 2020 iaitu 50.0 pada Jun dan Julai berbanding 31.3 pada April.

5) Penjualan kereta penumpang Malaysia meningkat 6.1 peratus bagi Jun 2020.

6) Perbelanjaan kad kredit menunjukkan peningkatan mendadak kepada RM10.7 billion pada Jun berbanding RM6.5 billion pada April.

7) Pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat pada kadar 3.7 peratus setahun.

8) Pertumbuhan pinjaman perniagaan sedia ada meningkat dari 3.4 peratus pada suku pertama 2020 kepada 3.9 peratus pada suku kedua 2020.

9) Kadar pengangguran negara bertambah baik pada Jun 2020 sebanyak 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus pada Mei.

10) Pertumbuhan ekonomi negara dijangka berada di paras 5.5 peratus ke 8.0 peratus