Tiga lagi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, berkaitan melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.
Kesemua mereka yang berusia 40 hingga 43 tahun ditahan selepas hadir di pejabat SPRM di Putrajaya, jam 2 petang semalam.
Difahamkan, siasat mendedahkan terdapat rangkaian sindiket dalam kalangan anggota penguat kuasa yang mengutip wang rasuah secara bulanan, lapor Berita Harian.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan itu.
Ketiga-tiga anggota penguat kuasa itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Sehingga kini, seramai lapan anggota penguat kuasa MBSA telah ditahan untuk siasatan, selain seorang peniaga keturunan Acheh berkaitan aktiviti rasuah kerana melindungi premis perniagaan haram sejak beberapa hari lalu.
Perkara itu terbongkar susulan pendedahan video oleh pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid yang tular hujung minggu lalu.

