Saya pun ada kaki – Luqman

0
2

Luqman Hakim Shamsudin sudah bersedia untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan KV Kortrijk yang kini beraksi dalam saingan divisyen satu Liga Belgium.

Luqman, 18, yang menandatangani kontrak lima musim bersama kelab itu selamat terbang ke Belgium awal pagi semalam dan dia dijangka akan menyertai pasukan selepas tamat tempoh kuarantin selama 14 hari di sana.

Beliau berkata, cabaran buat dirinya sudah tentu hadir pada sesi latihan pertama akan datang dengan dia perlu memberi aksi terbaik sekali gus cuba memikat perhatian pengurus pasukan, Yves Vanderhaeghe.

“Pemain di luar negara ada sepasang kaki, saya pun ada sepasang kaki, jadi buat apa saya nak takut,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Katanya, dia tidak gentar untuk menghadapi cabaran itu dan sedia bersaing secara sihat dalam pasukan.

“Apa yang saya alami dan cabaran saya kat sana, saya akan alami dan takkan putus asa. Sebab itu yang saya nak tolong keluarga dan saya nak banggakan negara Malaysia.

“Apa pun cabaran saya kena terima. Saya dah janji dalam diri saya sendiri. Jiwa saya kena kental,” katanya.

Luqman berkata, dia mahu membuka lembaran baharu dalam hidupnya dan berharap rakyat Malaysia sentiasa berdoa untuknya

“Apa yang saya ada saya akan gunakan sebaik mungkin dan yang lepas saya anggap sebagai sejarah.

“Sekarang ini permulaan baru bagi saya di mana permulaan ini saya jadikan sebagai semangat. Kalau boleh saya harap doa rakyat Malaysia takkan putus buat saya,” katanya.