Polis akan memanggil kesemua individu yang terbabit dalam wawancara dihadiri Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata individu terbabit sudah dikenal pasti iaitu mereka yang diwawancara, penganjur dan penghasil kedua-dua video hingga tercetus kontroversi mengenai dakwaan anggota polis dan tentera tidak menjaga solat.
“Kesemua mereka akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangan.
“PDRM menegaskan tindakan dilaksanakan adalah berlandaskan undang-undang. Tiada individu atau entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang jika jelas mencabuli undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Huzir berkata, polis membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 505 (b) dan 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Sebelum ini, Asri mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat.

