PRN Sabah: PBRS dan Star mahu tanding di Tulid

0
1

Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) masing-masing menyatakan hasrat untuk meletakkan calon di kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid dalam Parlimen Pensiangan.

Ia berdasarkan hasrat pemimpin kedua-dua parti itu yang secara terbuka mahu bertanding di kerusi berkenaan.

Semalam, Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup, menyatakan beliau menawarkan diri sebagai calon dan memilih kerusi DUN Tulid berdasarkan kekuatan PBRS di kawasan itu.

“Saya bersedia menawarkan diri sebagai calon dan saya juga sedia berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) jika terpilih,” katanya.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah satu-satunya wakil rakyat PBRS ketika ini.

Di pihak Star pula, Naib Ketua Wira Muda parti itu, Jordan Jude Ellron, menawarkan diri untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Dalam kenyataannya, anak kepada penyandang kerusi DUN Sook, Datuk Ellron Angin itu tidak menjelaskan alasan memilih kerusi berkenaan.

Jordan yang baru berumur 23 tahun, hanya menyatakan pemimpin muda harus diberi peluang luas dalam politik, termasuk menjadi wakil rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PBRS hanya bertanding satu kerusi DUN atas tiket Barisan Nasional (BN) iaitu di Sook.

Bagaimanapun, Ellron yang menyandang kerusi itu sejak beberapa penggal meninggalkan parti berkenaan dan menyertai Star pada Disember 2018.

Kedua-dua parti menyokong Perikatan Nasional (PN).