Covid-19: Kes baharu kembali dua angka, tiada kematian

0
1

[Covid-19] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat terdapat 11 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 9,114 kes yang mana kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 172 kes.

“Daripada 11 kes baharu ) dilaporkan, lapan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tujuh warga Malaysia dan satu bukan warganegara,” katanya.

Lapan kes import tersebut adalah dari Singapura (3 kes: 2 kes di Johor, 1 kes di Kuala Lumpur); Filipina (3 kes di Sabah); Australia (1 kes di Kuala Lumpur); dan Jepun (1 kes di Kuala Lumpur).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata daripada tiga kes penularan, dua kes adalah dalam kalangan warga Malaysia dan satu bukan warganegara.

Katanya, dua kes penularan dalam negara membabitkan rakyat Malaysia adalah kes saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di Kedah.

“Mereka dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Kedua-dua kes tidak berkait rapat antara satu sama lain.

“Satu jangkitan dalam negara yang melibatkan bukan warganegara pula adalah saringan tahanan baharu di lokap Balai Polis Tawau, Sabah.

“Sehingga kini, terdapat satu kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya sambil memaklunkan tiada tambahan kematian.

Justeru, katanya jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 125 kes atau 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.