Nurul Huda Abhar
Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid membuat pengakuan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan dan tidak mahu mengulas lebih lanjut berkaitan kontroversi mendakwa anggota polis dan tentera tidak jaga solat.
Beliau juga memohon maaf khususnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengakui kekhilafan yang terjadi adalah daripada perbuatan dirinya sendiri.
“Saya mohon kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya PDRM. Minta maaf sangat-sangat.
“Saya tak akan lakukan lagi, tak akan ulangi dan saya tidak akan ulas apa-apa tentang itu lagi. Itu janji saya,” katanya dalam satu hantaran video dimuat naik di Facebook Persatu Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini.
Tambahnya, beliau turut menyesal mengeluarkan kenyataan “kebanyakkan polis malas solat” seperti dinyatakannya.
Mengakui tidak menyangka akan mengeluarkan kenyataan seperti itu, Mohd Asri berkata beliau tidak bermaksud untuk mengguris hati pasukan keselamatan iaitu PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saya sepenuh hati, rendah diri, dengan sehina-hinanya ingin memohon maaf kepada seluruh anggota PDRM dan ATM di atas kesilapan, kejahilan dan kebodohan saya. Kerana keceluparan mulut saya membuat kenyataan.
“Mereka adalah permata negara. Sekali lagi saya memohon maaf kerana Allah Taala. Saya akui kesilapan dan redha atas segala apa yang berlaku,” katanya lagi.

